Posted on

Cari Penawar HIV dengan Gamat

Sumber : Mstar Online31 July 2006

ALOR STAR: Tidak lama lagi, mungkin tercatat dalam lembaran sejarah seorang rakyat Malaysia berjaya menghasilkan ataupun menjadi pencetus kepada penemuan penawar HIV (Human Immunodeficiency Virus) dan AIDS (Acquired immunodeficiency syndrome) yang formulanya belum ditemui mana-mana saintis di seluruh dunia.

Lebih membanggakan kajian yang dijalankan oleh profesor farmaseutik tempatan itu telah menunjukkan tanda-tanda positif bahawa penawar Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit ataupun AIDS boleh diformulasikan melalui sejenis hidupan laut yang banyak terdapat di negara ini iaitu gamat.

Gamat atau nama saintifiknya “Stichopus horrens” merupakan sejenis spesis laut yang amat terkenal di kalangan masyarakat Pulau Langkawi dekat sini sebagai bahan penyembuh penyakit dan luka dan tiada siapa sangka pada spesis itu juga terdapat penawar untuk AIDS dan HIV

Bagi Prof Dr Hassan Yaacob, 49, yang telah menjalankan kajian dan penyelidikan intensif tentang gamat sejak dari 1990 lagi, merasa yakin dan optimis dengan kemampuan menghasilkan penawar HIV daripada spesis laut itu jika kajian yang berterusan dilakukan secara lebih giat dan mendalam.

“Kini tanda-tanda awal penawar HIV boleh didapati daripada ekstrak gamat telah membuahkan hasil setelah setahun menjalankan penyelidikan terhadap sepasang suami isteri dari Melaka yang menghidap HIV positif (HIV+),” katanya kepada para pemberita di sini semalam.

Hassan berkata, kini percambahan virus HIV di dalam tubuh pasangan terbabit semakin menurun dan tahap imunisasinya semakin pulih walaupun tidak seratus peratus bebas daripada HIV.

Beliau yang juga bekas ketua penyelidik Fakulti Perubatan Universiti Malaya berkata formula bagi menghasilkan penawar itu sudah tersedia cuma kaedah bagi meningkatkan tahap kualitinya sebagai penawar yang mampu memusnahkan terus virus HIV dari tubuh badan perlu penyelidikan yang lebih mendalam.

“Justeru itu saya sedia bekerjasama dan berkongsi secara percuma terhadap penyelidikan yang telah saya jalankan sebelum ini dengan mana-mana pihak bagi meneruskan kajian lanjutan terhadap penemuan penawar HIV di dalam gamat agar ianya menjadi realiti untuk dimanfaatkan ke seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, kajiannya sebelum ini telah membuktikan bahawa ekstrak yang ditulenkan dari gamat mengandungi sebatian aktif yang bukan sahaja mampu merawat luka tetapi kesan penyembuhannya lebih daripada itu.

“Seseorang yang HIV+ dikatakan mempunyai AIDS apabila imunisasinya telah dirosakkan oleh virus HIV dan tercetusnya jangkitan HIV yang teruk dengan sebatian aktif dari gamat itu ianya mampu merangsangkan sistem imunisasi dan memperbaikinya,” jelasnya.

Katanya, kajian selanjutnya di Jepun telah mengesahkan tentang keberkesanan gamat yang mengandungi sebatian aktif kompleks gamapeptida (Gamalin) yang boleh merangsang pembiakan sel kulit dan meningkatkan metabolisme sel yang boleh menghilangkan kesakitan dan gatal-gatal, merangsang sistem imunisasi dan sel-sel kulit, otot dan saraf serta meningkatkan peredaran darah dan keserian kulit.

Hasilnya, pada 1994 penemuan dan penyelidikan Hassan itu telah memenangi tempat pertama Pertandingan Rekacipta dan Rekabentuk Malaysia (Inovasi Kimia) MINDEX 1994 anjuran ketika itu Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

Bermula dari situ, lahirlah sebuah syarikat tempatan Healwell Pharmaceuticals Sdn Bhd beroperasi di Shah Alam, Selangor yang mengeluarkan minuman dan makanan kesihatan tambahan berasaskan bahan aktif yang ditulenkan daripada gamat seperti Jus, Jeli, Emulsi & Gamatogen berjenama Healin Master dan Awal Gamat.

Sehingga kini, syarikat itu terus aktif menjalankan penyelidikan tentang sebatian tersebut dengan kerjasama Imex Pharmaceutical Kyoto, Jepun agar ia dapat dipatenkan tidak lama lagi bagi menghasilkan produk penjagaan kulit dan komestik bertaraf farmaseutik.

Hassan adalah pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Farmakologi Klinikal daripada Royal College of Surgeons, England dan kini menjawat sebagai Pengerusi Eksekutif Healwell Pharmaceuticals yang bertanggungjawab terhadap penyelidikan, pengeluaran dan pemasaran produk kesihatan Healin.

Beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab merumuskan “Pati Ayam Bistari” untuk diedarkan oleh Cerebos Malaysia Sdn Bhd.

Sumber – BERNAMA